Global

Wang Yi bertemu Anwar di Pulau Pinang, bincang isu pelaburan dan pendidikan

Malaysia berhasrat meningkatkan hubungan diplomatik dengan China bagi mengukuhkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara.

Hasrat itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan Menteri Luar China, Wang Yi yang juga Menteri Kanan di China ke Malaysia semalam.

“Pendirian kita adalah untuk memastikan hubungan dengan China kekal kukuh dan ditingkatkan lagi daripada penglibatan diplomatik biasa, untuk menjadi perkongsian strategik yang kukuh,” katanya kepada pemberita.

Yi dan delegasinya mengadakan kunjungan hormat kepada Anwar di George Town semalam berbanding kebiasaanya di Putrajaya, ia susulan jadual padat Anwar sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dilangsungkan hari ini.

Pertemuan itu juga disertai oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Anwar yang menyifatkan kunjungan itu sebagai penting dan mencerminkan hubungan kukuh kedua-dua negara berterima kasih kepada Yi kerana membantu dalam membawa banyak pelaburan utama China ke Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua negara turut merancang untuk meneroka keperluan meningkatkan kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pendidikan.

“Perbincangan kami bertumpu kepada isu perdagangan dan pelaburan, namun kami juga menyentuh soal pendidikan. Malaysia mempunyai jumlah pelajar dari China yang cukup besar di sini, kira-kira 60,000 orang, dan mereka (China) juga berhasrat meningkatkan jumlah pelajar Malaysia di China,” katanya.

Related Articles

Back to top button