Semasa

Polis nafi kewujudan bas bawa pengundi ‘hantu’ di Kedah

Polis Kedah pada Sabtu tampil menafikan dakwaan kononnya terdapat pengundi ‘hantu’ yang dibawa menggunakan bas ke negeri itu.

Ia susukan satu klip video yang tular di media sosial termasuk TikTok dan Facebook yang mendakwa perkara itu

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dalam satu sidang media menjelaskan, bas-bas yang terpampang dalam klip video itu merupakan kenderaan yang membawa sebahagian daripada 7,160 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Kedah sempena pilihan raya negeri (PRN) di negeri ini.

“Saya ada keluarkan kenyataan akhbar yang jelas menyebut terdapat 7,160 pegawai dan anggota polis bertugas di negeri ini sempena PRN dengan hampir 2,000 daripadanya datang dari luar Kedah antaranya Bukit Aman dan Perlis.

“Jadi kami telah menyewa sebanyak 34 buah bas yang mana 24 daripadanya dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini untuk menyelaras pergerakan kesemua anggota polis terlibat. Setelah kami lakukan semakan nombor pendaftaran, didapati bas yang terpampang dalam klip video berkenaan merupakan sebahagian daripada bas-bas yang kami sewa itu.

“Ketika rakaman itu dibuat, kesemua anggota yang menaiki bas sudah turun dan melaksanakan tugas masing-masing. Di sini saya beri jaminan bahawa apa yang dibangkitkan itu adalah tidak benar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di Alor Setar.

Terdahulu tular rakaman video beberapa individu menahan tiga buah bas yang didakwa membawa pengundi ‘hantu’. Perakam video turut mengeluarkan kata-kata kesat sambil mendakwa perkara itu merupakan satu sejarah kerana tidak pernah ada bas yang muncul di kawasannya pada hari pengundian.

“Kami mengalu-alukan pihak yang merakam serta menularkan klip video tersebut untuk membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan kewujudan pengundi hantu yang dibawa bas berkenaan. Ini bagi memberi keadilan kepada individu terlibat mengenai dakwaan dibuatnya itu.

“Polis Kedah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengatakan isu itu akan ditutup kerana siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat laporan wujud pengundi hantu. Saya pun dah beritahu nombor bas berkenaan dan saya ingin ingatkan individu terbabit agar bertanggungjawab mengeluarkan isu yang telah menjadi kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu jelasnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan akan memanggil individu terlibat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Related Articles

Back to top button