Nasional

Jemaah menteri lulus cadangan lafaz ikrar Rukun Negara setiap program rasmi kerajaan

Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru in telah meluluskan cadangan agar lafaz ikrar Rukun Negara dilaksanakan di setiap program rasmi kerajaan.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata cadangan asalnya dikemuka kementeriannya itu sebagai antara usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Kita di Kementerian Perpaduan merasakan jati diri melalui melafazkan rukun negara ini amat penting, sebab itu kita sebelum lafaz Rukun Negara, kita juga perlu baca mukadimah yang membawa erti perpaduan, keharmonian di Malaysia ini.

“Kalau dahulu lafaz ikrar ini juga dilakukan di setiap sekolah rendah, menengah, tetapi kebelakangan ini agak kurang, saya merasakan ini perlu dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan program jalinan integrasi nasional penjawat awam tahun 2023 baru-baru ini.

Aaron berkata, Rukun Negara dibentuk daripada peristiwa 13 Mei 1969, yang merupakan detik hitam dalam sejarah negara ini.

“Oleh sebab itu, ia menjadi asas kepada semua dasar dan aktiviti kerajaan untuk negara kita menjadi lebih aman, damai dan juga harmoni, kalau dalam Kementerian Perpaduan ini termasuk dalam program semarak kenegaraan, bukan itu saja terdapat banyak lagi perkara meningkatkan jati diri, patriotisme rakyat yang dilakukan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button