Nasional

Peranan guru sebagai ejen perpaduan, pupuk semangat cintakan negara

Sekolah melalui peranan warga pendidik berpotensi menjadi ejen sosialisasi politik dalam pembentukan perpaduan etnik dalam kalangan generasi muda, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, guru adalah agen dalam usaha menerapkan semangat perpaduan kepada anak muda, bermula di bangku sekolah.

“Guru adalah agen perpaduan, kita boleh lihat bagaimana guru menyampaikan hasrat, impian dan tekad bagaimana perpaduan patut dilaksanakan di sekolah,” katanya pada majlis pelancaran program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Sekolah Tahun 2023 di Dewan Kompleks Seri Bintang, hari ini.

Program itu diadakan untuk meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) Rukun Negara dalam diri murid sekolah dan menjadikannya sebahagian daripada sikap dan tingkah laku mereka bagi mengukuhkan semangat jati diri serta semangat cintakan negara.

Selain itu, Fadhlina berkata Kelab Rukun Negara akan diperluaskan di semua sekolah termasuk sekolah swasta bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

“Kelab ini akan menjadi peneraju perpaduan di sekolah-sekolah. Kita akan buat perluasan. Makluman akan diberikan dari semasa ke semasa.

“Ia bertujuan memastikan program perpaduan berjalan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Pada masa ini, terdapat 6,849 Kelab Rukun Negara di seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang turut hadir pada program tersebut berkata kabinet sudah meluluskan sebuah memorandum agar Rukun Negara dilafazkan secara penuh, bermula dengan mukhadimah sebelum disusuli dengan lima prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Cita-cita kita untuk Rukun Negara dilafaz dengan penuh dimulakan dengan cita-cita atau mukhadimah sebelum dicakan lima prinsip Rukun Negara.

“…Itu yang kita nak kerana penghayatannya amat penting. Kalau kita baca prinsip sahaja, mungkin ‘it’s a bit sketchy’,” katanya.

Related Articles

Back to top button