ekonomi

Ekonomi Digital Islam sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara – Fahmi

Ekonomi Digital Islam (IDE) berpotensi menjadi pemacu utama membangunkan industri dan bidang pertumbuhan baharu di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, IDE mempunyai potensi yang besar dari segi nilainya dan Malaysia mampu untuk menjadi jaguh dalam industri ini.

Beliau berkata, ini berdasarkan kepada kedudukan negara sebagai peneraju Ekonomi Digital dan Ekonomi Islam selama ini.

Katanya, terdapat tiga potensi dalam industi IDE iaitu teknologi kewangan, gaya hidup dan halal, justeru pembabitan bersama usahawan sangat digalakkan bagi membolehkan industri IDE dapat dikembangkan.

“Malaysia ketika ini menjadi peneraju utama dalam ekonomi Islam dalam pelbagai bidang. Malah, kerajaan juga ingin melaksanakan pelbagai langkah bagi membolehkan negara terus menjadi teraju utama dalam ekonomi Islam.

“IDE berpotensi menjadi antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kelak,” katanya selepas melancarkan Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam 2023, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, inisiatif IDE juga bakal menjadi pelengkap kepada Ekonomi Madani yang bekerjasama menggalakkan pembangunan ekonomi digital di Malaysia.

Beliau berkata, IDE berdiri sebagai mercu tanda keterangkuman, merangkumi Malaysia Madani sebagai visi untuk sebuah masyarakat yang saksama yang menyeru kepada pengagihan kekayaan dan sumber yang lebih adil.

Katanya, kepentingan IDE tidak boleh dilemahkan kerana ia bukan sahaja menggunakan potensi ditawarkan teknologi itu, tetapi turut memasukkan prinsip-prinsip Islam.

“Sejajar dengan langkah itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan Malaysia Digital Tasree (MD Tasree) untuk menerajui pembabitan industri pengesahan idea dan mempromosikan projek perintis yang akan membawa ke arah skala dan pengkomersilan berkaitan penyelesaian teknologi IDE,” katanya.

Related Articles

Back to top button