Anwar

PM Anwar mahu lihat peserta Felo Perdana Menteri Kabinet pamer prestasi cemerlang

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semua peserta Program Felo Perdana yang ditugaskan bersama Menteri Kabinet masing-masing dapat mempamerkan prestasi cemerlang sebagai pemimpin masa depan.

Menerusi program terbabit, Perdana Menteri berkata, semua felo diberi pendedahan bukan sahaja mengenai menteri, malah cara kerja, tradisi serta budaya dalam kerajaan.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi platform terbaik untuk memberi ruang kepada para peserta memahami dan menimba pengetahuan berhubung pelaksanaan dasar-dasar yang dibangunkan kerajaan.

“(Program ini) memberi ruang mereka (felo) lebih faham berhubung dasar (kerajaan) dan saya percaya mereka akan mendapat menimba pengalaman yang sangat penting.

“Mudah-mudahan menerusi program ini, mereka dapat menunjukkan prestasi cemerlang dan memanfaatkan sepenuhnya sebagai persiapan pemimpin masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Semua Felo dipilih telah melalui sesi orientasi bermula pada 20 hingga 22 Ogos lalu di Institut Semarak Felda, Bangi.

Bagi Perdana Menteri sendiri merangkap Menteri Kewangan, beliau menerima felo dari Sekolah Politik dan Sosial Eropah, Perancis jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Ekonomi dan Perhubungan Antarabangsa, Dayang Nur Syazwanie Abang Redzuan dan felo dari Shiga University, Jepun jurusan Ijazah Sarjana Ekonomi, Muhamad Firdaus Ali.

Felo Perdana merupakan program berbentuk mentor dan latihan industri dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.

Ini termasuk untuk bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang selaras dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.

Related Articles

Back to top button