16,546 pengundi PRK Pelangai akan tunaikan tanggungjawab pada 7 Oktober
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.
Tarikh penamaan calon pula pada 23 September, manakala undi awal pada 3 Oktober.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 6 Oktober.
“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah sehingga daftar pemilih tambahan bulan Mei tahun 2023 yang dikemas kini pada 17 Ogos lalu.
“DPPR ini mengandungi seramai 16,456 pemilih terdiri daripada 16,417 orang pengundi biasa, 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK DUN berkenaan, hari ini.
Jelasnya, kos pengurusan PRK Pelangai sebanyak RM2.1 juta.
Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka mulai hari ini.
Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media adalah pada 19 September.
Manakala tarikh tutup permohonan kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara pada 2 September, dan kategori 1C membabitkan agensi dan organisasi pada 5 September.
“Bagi menjalankan proses PRK terbabit, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu tiga penolong pegawai pengurus.
“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, Dewan Orang Ramai Felda Kemasul akan digunakan sebagai pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) dengan melibatkan 312 petugas.
Sebanyak sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi awal akan digunakan.
PRK DUN Pelangai adalah PRK keempat diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.
PRK sebelum ini melibatkan PRK Parlimen Kuala Terengganu, PRK Parlimen Pulai, Johor dan PRK DUN Simpang Jeram, Johor.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Allahyarham Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, 53, adalah antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Johari, tokoh korporat yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).