Kerajaan bertarung dengan fitnah, usaha selamatkan negara diganggu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pentadbirannya berdepan kerumitan kerana sikap pembangkang yang ekstremis dengan memainkan isu kebencian dan prasangka agama bagi menarik sokongan rakyat.
Berucap pada sesi perjumpaan bersama jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan di Johor pada Jumaat petang, Anwar berkata situasi itu menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa bertarung dengan ancaman fitnah dan asakan polemik yang boleh mengganggu-gugat hak serta keselamatan orang Melayu.
“Kita kini bertarung dengan fitnah. Pertarungan ini lebih rumit kerana ada hasutan serta mencungkil naluri batin dan bukannya berdasarkan pertimbangan rasional,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar mendedahkan, kaedah yang digunakan pembangkang di negara ini tidak ubah seperti gerakan fasisme yang banyak berlaku dalam suasana politik negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun tidak sama sepenuhnya, namun kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman.
“Perkara ini bukan asing di dunia khususnya di benua Eropah, kebangkitan neo-nazi dan fasisme yang menyebabkan segerombolan kalangan muda membenci kaum minoriti, orang asing dan agama lain.
“Jadi jawapannya adalah kita perlu menggunakan landasan kebijaksanaan dan pertimbangan waras bagi memahami semangat Malaysia tulen.
“Justeru, dengan aspek progresif PH dan pengalaman pentadbiran BN, gabungan ini adalah wadah terbaik untuk selamatkan Malaysia sekarang,” katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin tertinggi PH-BN Johor serta jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu Anwar berkata, disebalik tohmahan dilontarkan, dalam tempoh lapan bulan mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan berjaya mengangkat martabat Malaysia dan menangani pelbagai isu termasuk kemiskinan, tatakelola serta memulihkan kembali ekonomi negara.