MAFS bincang dengan pengilang beras, selaraskan harga agar tiada kenaikan
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah mengadakan pertemuan dengan pengilang beras pada Sabtu lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertemuan diatur Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras itu bagi membincangkan isu berkaitan stok bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) di pasaran sekaligus menyelaras harganya bagi memastikan tiada kenaikan kepada bahan mentah itu.
Beras SST ialah beras tempatan yang memiliki gred beras hancur sebanyak lima peratus serta dikawal kerajaan iaitu RM13 (5kg) dan RM26 (RM10 kg) manakala SSI (Super Spesial Import) yang diimport, harganya lebih mahal dan tidak dikawal kerajaan.
“Yang penting kita dapat menyelaraskan harga beras ini (SST) memandangkan beras import banyak di pasaran dan harga pun lebih tinggi,” katanya selepas menghadiri Program Santai Peladang Zon Selatan 2023 dianjurkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Muar pada Isnin.
Sementara itu, ketika mengulas dakwaan yang mengatakan terdapat sesetengah peniaga yang berleluasa menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import, Mohamad berkata buat masa ini pihaknya belum mendapat laporan khusus berkaitan perkara itu.
Namun sekiranya aktiviti itu dikesan, pihaknya jelas Mohammad Sabu akan bertindak dengan pantas memastikan supaya tidak berlaku perubahan kampit dan sebagainya.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya memaklumkan beberapa negara pengeksport beras di dunia sudah mengumumkan untuk mengurangkan eksport bahan makanan itu.
Katanya, India antara negara yang mengumumkan pengurangan eksport beras selain Vietnam akan mengikut jejak langkah terbabit.
“Thailand belum umum lagi tapi kita perlu berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapinya jikalau negara pengeksport beras itu memberhentikannya dengan serta-merta.
“Kita kena bersedia, penanaman padi di negara perlu dipertingkatkan hasilnya, baja, pengairan. Sebab itulah kerajaan berbelanja hampir RM4 bilion untuk membuat pengairan baharu bagi membolehkan penanaman padi lima musim untuk dua tahun dilakukan,” tambahnya.