Hina Sultan Selangor: Pemilik akauan Facebook disiasat polis
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap pemilik media sosial Facebook, ‘Iman Mustaqim’ yang disyaki menghina Sultan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
“Individu itu membuat hantaran yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Facebook semalam.
“Siasatan kes itu sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.
Shuhaily berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat salah sehingga mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan satu pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘Iman Mustaqim’ yang membuat hantaran berbaur fitnah apabila menuduh Sultan Selangor tidak menjaga agama Islam.
Ia mendapat pelbagai reaksi dan kecaman oleh pengguna media sosial yang menyifatkan tindakannya itu sebagai biadab.