Semasa

KPDN akan siasat aduan ada peniaga jual gula pasir secara bersyarat kepada pengguna

Siasatan secara terperinci akan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap aduan pengguna berhubung isu gula.

Ia susulan dakwaan ada perniagaan menjual gula pasir secara bersyarat kepada penggguna.

Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof dipetik laporan Bernama berkata setakat ini pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu di Perlis, Kelantan dan Perak.

“Kita (KPDN) tidak akan berdiam dalam perkara ini dan peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya sambil memaklumkan pihaknya akan mengumumkan hasil siasatan itu selepas ini.

Beliau berkata begitu ditemui selepas majlis Pelancaran Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Perlis dan Karnival Hero Pengguna Peringkat Perlis di Arked Wang Kelian pada Sabtu.

Media baru-baru ini melaporkan KPDN Perak menyerbu sebuah premis perniagaan di Batu Gajah pada 25 Ogos lepas kerana menjual gula pasir secara bersyarat.

Susulan itu, pemangku menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap peniaga yang meletakkan syarat antaranya perlu melakukan pembelian satu kilogram gula putih jernih (premium) terlebih dulu jika mahu membeli gula pasir kasar.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengenakan syarat berkenaan tanpa kebenaran pengawal bekalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Syarat itu tidak boleh diletakkan dan jika ada kes, boleh dilaporkan kepada kita untuk tindakan bersesuaian serta-merta,” katanya.

Related Articles

Back to top button