Muhyiddin digesa bertaubat, amal politik matang
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dinasihatkan supaya bertaubat selepas mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi calon parti kerajaan perpaduan.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengulas kenyataan Muhyiddin dihadapan penyokongnya di satu program ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan DUN Simpang Jeram baru–baru ini berkata, sebagai seorang bekas Perdana Menteri, Muhyiddin tidak sewajarnya mempermainkan agama.
Sebagai seorang ‘senior’ dalam kancah politik, Muhyiddin sepatutnya menumpukan isu yang ingin dibawakan atau manifesto parti yang membawa kebaikan kepada rakyat secara matang tanpa mencetuskan kontroversi.
“Suruh dia bertaubatlah, jangan yang halal kita haramkan, itu bukan hak kita.
“Bab soal akidah jangan buat main. Jangan nak kata tak masuk syurgalah, macam-macamlah dan sengaja mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi.
“Saya bagi nasihat kepada individu yang berpangkat ‘abang-abang’ saya itu supaya jadilah seorang yang gentleman. Kita bagitahu apa yang nak kita lakukan, bukanlah keluarkan kenyataan seperti itu,” katanya.