Anwar

Kerjasama ASEAN-China harus berlandaskan kepercayaan pada masa akan datang – PM Anwar

Malaysia hari ini merakamkan pendirian tegasnya dalam usaha melindungi kedaulatan negara dan juga rantau ASEAN daripada ancaman luar.

Perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu sesi pertemuan antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China, Li Qiang sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 pada Rabu.

Justeru beliau berkata, sebarang kerjasama antara ASEAN dan China pada masa akan datang, harus dibina berdasarkan kepercayaan antara dua entiti tersebut.

“Saya ingin menekankan di sini, kerjasama pada masa akan datang sebahagian besarnya bergantung kepada rasa kepercayaan serta dialog pelbagai hala, khususnya dalam aspek keselamatan dan mempertahankan kepentingan ASEAN dan China,” katanya lagi.

Anwar berkata, Malaysia dan rakan-rakan ASEAN sentiasa menganggap China sebagai jiran dan rakan dagang yang penting, khususnya dalam aspek perdagangan, pelaburan dan susunan keselamatan.

Kedatangan Perdana Menteri China ke sidang tersebut, kata Anwar lagi, telah mengukuhkan lagi hubungan antara semua pemegang taruh.

Sebelum ini media melaporkan pertemuan antara ASEAN dan China antara yang menjadi tumpuan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, selepas China menerbitkan ‘Peta Standard China 2023’ pada September, antara lain menunjukkan garisan sepuluh yang jelas memasuki kawasan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) di perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan.

Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia sentiasa terbuka kepada usaha mengukuhkan hubungan antaranya dengan China, dan kerjasama itu harus bermula dengan versi ketiga Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China.

“Suka juga saya berkongsikan tentang Rangka Kerja Ekonomi Madani Malaysia tetapi hubungan dengan China, sama ada perlu diperkukuhkan lagi, terkait kepada kebergantungan kita dalam isu seperti keterjaminan makanan dan informasi digital.

“Justeru, Perjanjian Kerjasama Teknikal ASEAN-China boleh mengenal pasti bidang baharu untuk kerjasama dalam inovasi, teknologi, pendidikan, seperti saya lihat di bawah kepimpinan China telah mengubah negara itu,” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau percaya negara ASEAN boleh memanfaatkan hubungan yang terjalin daripada aspek program kerajaan, kepentingan rakyat dan program pertukaran Rakyat ke Rakyat.

“Malaysia juga mengalu-alukan Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China pada 2024 yang memberi ruang untuk terus memupuk persahabatan yang berdaya tahan di kalangan generasi masa depan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button