Lawatan Fahmi ke Korea Selatan berjaya raih komitmen pelaburan untuk Malaysia
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menyifatkan lawatan rasmi pertamanya ke Korea Selatan berakhir dengan optimistik.
Ia susulan lawatan itu berjaya memeterai beberapa perjanjian kerjasama strategik antara kedua-dua negara selain Malaysia menerima komitmen pelaburan daripada syarikat digital dan telekomunikasi negara itu.
“Hasil yang diperoleh daripada mesyuarat semasa lawatan ini termasuk meneroka aspek penggunaan 5G oleh industri antara kedua-dua negara.
“Ini juga melibatkan perkara seperti komitmen untuk membuka ibu pejabat NX3 Games di Kuala Lumpur tahun depan serta beberapa peluang yang boleh kita capai, sama ada pelaburan atau kerjasama pada masa hadapan dengan entiti di Korea Selatan,” katanya dipetik Bernama.
Fahmi mengetuai delegasi Malaysia berada di Korea Selatan dari 5 hingga 9 September bagi persidangan GSMA Mobile 360 APAC dan berkesempatan menyampaikan ucaptama di Forum Pemimpin Dasar 2023.
Semasa lawatan itu, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan syarikat telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan, SK Telecom, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama membangunkan perniagaan Multi-Access Edge Computing (MEC) di Malaysia, mengorak laluan untuk perniagaan itu dipelopori di Malaysia.
Selain itu, CelcomDigi juga menandatangani MoU dengan syarikat teknologi VIRNECT untuk pembangunan dan pengkomersialan penyelesaian realiti lanjutan industri (XR) di Malaysia apabila mereka menyasar untuk meneroka pembangunan pembelajaran dan pendidikan pengalaman menggunakan metaverse.
Pembangun permainan video Korea Selatan, NX3 Games pula telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan operasinya di Malaysia dengan membuka ibu pejabat serantau di Kuala Lumpur, yang dijangka siap tahun depan.
Syarikat itu akan memberi tumpuan kepada tiga unit utama untuk pejabatnya di Malaysia — penerbitan permainan, penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk kandungan.
Selain NX3 Games, sebuah lagi syarikat utama permainan video Korea Selatan, Smilegate, juga menyatakan hasrat memperluas perniagaannya ke Malaysia dan telah bekerjasama secara aktif dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).