Global

PM Anwar dijadualkan berucap di Sidang Kemuncak Asia Milken Institute di Singapura

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melawat negara jiran Singapura hari ini (13 September), menurut Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA).

MFA dalam kenyataan pada Selasa berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan berada di Singapura untuk berucap pada Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023.

Beliau difahamkan bakal diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Luar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut MFA lagi, Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong dan isteri akan meraikan Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu acara minum petang.

Anwar telah mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura pada 30 Januari lalu selepas dipilih sebagai Perdana Menteri.

Semasa lawatan itu, kedua-dua negara menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MOU) G-to-G berkaitan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital dan Lestari, serta MOU mengenai Perlindungan Data Peribadi, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital.

Kedua-dua pemimpin bertemu semula di China pada 30 Mac di Forum Bo’ao untuk Persidangan Tahunan Asia 2023.

Mereka sekali lagi bersama dalam Sidang Kemuncak Asean ke-43 di Jakarta, Indonesia baru-baru ini di mana blok itu terlibat dalam perbincangan untuk meningkatkan kerjasama dan perkongsian ekonomi serantau.

Related Articles

Back to top button