Nasional

Kertas Putih KKM diperluas dengan kerjasama awam dan swasta

Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperluas dan memperkukuhkan dasar kerjasama awam swasta (PPP) selaras dengan Kertas Putih Kesihatan dan prinsip ekonomi Madani.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, usaha tersebut bertujuan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan sambil mengoptimumkan peruntukan sumber antara kemudahan awam dan swasta.

Menurut Zaliha, KKM mengalu-alukan semua pihak untuk membentangkan ‘blueprint’ (pelan tindakan) bagi meneruskan inisiatif PPP.

“PPP ini kita ada gariskan dalam Kertas Putih Kesihatan dan kita sedang melihat kolabrasi bagaimana yang boleh kita buat yang mana kita belajar daripada pandemik tempoh hari.

“Jadi, kita akan perluas dan perkukuhkan usaha ini selain melihat ruang lain untuk menjalinkan kerjasama melibatkan latihan dan perkidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Icon Sunsuri Sdn. Bhd., sebuah entiti baharu hasil kerjasama antara Icon Cancer Center (Icon Group) dan anak syarikat Sunsuria Berhad, Sunsuria Healthcare, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Zaliha turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Healthcare, Audrey Ooi dan Ketua Pegawai Eksekutif Icon ASEAN dan Hong Kong, Serena Wee.

Icon Sunsuria menyasarkan penyediaan akses kepada penjagaan kanser berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan pesakit dengan menubuhkan pusat-pusat kanser di seluruh negara.

Ia membawakan rangkaian perkongsian pengetahuan antarabangsa merangkumi lebih 300 pakar onkologi dan rakan industri kanser, seiring dengan pendekatan terkini dalam penyelidikan klinikal, teknik rawatan, dan ubat-ubatan.

Related Articles

Back to top button