Semasa

KKM sedia siasatan dakwaan ‘bayi dirampas’

Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan ‘bayi dirampas’ di sebuah hospital di Sabah yang tular baru-baru ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, tidak menolak kemungkinan akan melakukan pertemuan dengan petugas di hospital terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut, selain menunggu hasil siasatan polis.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, terutama di hospital kerajaan. Dasar ‘no wrong door policy’ perlu dilaksanakan sebaiknya.

“Bagi kes seperti ini, saya setuju untuk membuat penelitian, selain perlu menunggu hasil siasatan polis.

“Kita perlu ada empati untuk melaksanakan tugas yang berkaitan penyampaian perkhidmatan kesihatan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat semalam.

Sabtu lalu, Jabatan Sabah dilapor membuat laporan polis bagi menafikan laporan sebuah portal kononnya berlaku kes ‘merampas bayi’ di hospital di negeri itu susulan ibunya yang tidak memiliki status kerakyatan.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Asits Sanna dipetik berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan segera susulan laporan portal berkenaan, selain menjelaskan dakwaan itu tidak benar dan tidak berlaku di mana-mana fasiliti Kementerian Kesihatan di negeri itu.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mempersoalkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau siasatan luaran dibuat bagi menyiasat dakwaan terbabit.

“Saya tahu pihak hospital sudah membuat laporan polis, menafikan dakwaan terbabit. Namun, untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat, apakah pandangan kementerian?

“Adakah wujud keperluan untuk (penubuhan) RCI atau ‘external investigation’ supaya (pengurusan kes terbabit) lebih telus?” soalnya.

Related Articles

Back to top button