Ramanan bawa penambahbaikan drastik, berjaya kembalikan keyakinan terhadap MITRA
Kepimpinan tegas Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) Datuk R. Ramanan dalam mengembali keyakinan masyarakat India kepada imej badan itu dipuji.
Ahli Dewan Undangan Batu Uban, A. Kumaresan berkata, hanya dalam tempoh lima bulan sejak memimpin Pasukan Khas MITRA, pendekatan tegas dan berani Ramanan dalam soal integriti dan penyaluran dana berjaya membawa pelbagai ‘penambahbaikan yang drastik’.
Tambah beliau, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh itu juga telah memberi jaminan sebarang penyelewengan membabitkan dana agensi itu tidak akan berulang, iaitu perkara yang diharapkan komuniti India setelah mendengar pelbagai perkara negatif mengenai agensi itu sebelum ini.
“Berdasarkan beberapa pengumuman di MITRA baru-baru ini, jelas sekali kita nampak badan itu kini lebih telus dan berintegriti dalam setiap pengagihan dananya kepada kumpulan sasar.
“Tahniah kepada Ramanan dan juga seluruh pasukan MITRA yang telah dan sedang berkerja bertungkus-lumus untuk memastikan agensi itu berada dilandasan yang betul sepertimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Inilah harapan dan obektif utama Perdana Menteri untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kumaresan turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini, yang mana peranan MITRA akan diperkasakan dan diperkukuhkan lagi.
“Perdana Menteri juga cukup prihatin dengan perkembangan di MITRA dan kita sangat berharap peruntukan yang lebih banyak untuk masyarakat India akan diberikan memandangkan dana RM100 juta telah diagihkan sepenuhnya bagi tahun ini.
“Segala maklumat mengenai penerima dana juga didedahkan kepada umum,” katanya dipetik.