Wabak Nipah: KKM tingkat kesiapsiagaan, nasihat pengembara lakukan pemantauan kendiri
Susulan penularan virus penyakit Nipah di India, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksana beberapa langkah proaktif bagi mengekang wabak itu dari menular ke negara ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya sentiasa memantau perkembangan dan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi meminimakan risiko penularan wabak penyakit yang disebarkan dari haiwan kepada manusia itu.
Melalui satu kenyataan semalam, beliau turut menyarankan pengembara yang pulang ke Malaysia daripada negara berisiko tinggi jangkitan penyakit nipah melakukan pemantauan kendiri tanda dan gejala virus tersebut selama 14 hari.
“Sekiranya bergejala, elakkan kontak dengan orang lain dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.
Bagi pengembara yang baru mengunjungi kawasan berisiko tinggi pula, beliau menasihtkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak diri daripada dijangkiti penyakit Nipah.
“Amalkan mencuci tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, elakkan sentuhan dengan keluang atau khinzir terutamanya yang sakit. Elakkan berada dalam kawasan di mana keluang diketahui berkumpul ata tinggal.
“Elakkan pengambilan buah-buahan dan nira (tree sap) contohnya pokok kurma, pokok kelapa, pokok nipah yang disyaki tercemar dengan air liur atau cecair badan keluang.
“Elakkan sentuhan langsung (direct contact) dengan rembesan iaitu darah, cecair badan dan rembesan pernafasan orang yang dijangkiti penyakit Nipah,” katanya.
Difahamkan penyakit mampu mengakibatkan komplikasi keradangan pada otak dan penyakit saluran pernafasan dengan kadar kematian 40 peratus ke 70 peratus dalam manusia yang dijangkiti.
Tempoh inkubasi bagi penyakit Nipah adalah antara lima ke 14 hari, antara gejalanya adalah demam, sakit kepala, muntah, batuk, susah bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan.
Selain daripada menyebabkan komplikasi keradangan pada otak, penyakit Nipah juga boleh menyebabkan individu yang dijangkiti mengalami penyakit saluran pernafasan dan kematian.
Di Malaysia, penyakit Nipah merupakan penyakit yang wajib dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan ia kali pertama terjadi pada September 1998 hingga Mei 1999.
Namun, pada tahun 2001, Malaysia diisytiharkan bebas penyakit Nipah oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), ini merupakan hasil usaha KKM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan)