Kerajaan tidak berpeluk tubuh, akan lakukan yang terbaik selesai isu beras – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam mendapatkan penyelesaian berhubung kekurangan bekalan beras di negara ini.
Melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, Anwar menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya prihatin akan isu tersebut dan akan bergerak dengan segenap akal dan bertiwikrama (berusaha sedaya upaya) untuk meringankan beban rakyat termasuk berkaitan kenaikan harga beras global ketika ini.
Kerajaan jelasnya telah mengusahakan beberapa langkah termasuk empat langkah intervensi diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga beras putih import dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan di pasaran.
“Kendatipun, saya amat peka dan mendengar segala keluh kesah yang dibangkitkan rakyat ekoran kenaikan harga beras putih import di pasaran ekoran kenaikan harga beras global,”
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan menteri pertanian dan keterjaminan makanan di pejabat saya bagi berbincang dan mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.
“Diharap langkah ini akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu Mohamad Sabudalam sidang media khas pada Isnin berkata perdana menteri bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Antara langkah tersebut adalah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai runcit, dengan kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada badan itu.
Bagi Sabah dan Sarawak, Mohamad berkata kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import mulai 5 Okt, dengan langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10kg.
Sebagai rekod, kenaikan harga beras bukan hanya berlaku di Malaysia malah melibatkan negara serantau susulan tindakan 19 negara yang mengehadkan eksport beras untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.