Blackberry Cybersecurity bercadang buka operasi di Malaysia
Syarikat keselamatan siber Kanada, BlackBerry Cybersecurity memaklumkan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar melalui satu muatnaik di laman Facebooknya susulan kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, TYT Wayne Robson dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry Cybersecurity, John Gianmatteo di pejabatnya petang semalam.
“BlackBerry adalah syarikat utama Kanada yang menawarkan perisian dan perkhidmatan penyelesaian keselamatan siber.
“Dalam pertemuan ini, Gianmatteo memaklumkan hasrat BlackBerry untuk menopang pertumbuhan ekonomi negara menerusi kolaborasi bersama Malaysia.
“Ini termasuklah cadangan pembukaan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry yang pertama di rantau Asia Pasifik,” jelas Anwar dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut kunjungan itu Anwar memberitahu telah menyatakan pendirian Malaysia untuk terus membuka peluang dan memudah cara pelaburan berkualiti yang ingin dibawa pihak luar.
“Moga komitmen dan usaha bersepadu yang sedang dilaksana Kerajaan Perpaduan dalam menstruktur ekonomi dapat menarik minat lebih ramai pelabur asing,” kata Anwar.
Turut hadir pada kunjungan itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.