MDEC tarik komitmen pelaburan RM600 juta melalui misi ke UAE
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai kira-kira RM600 juta dan peluang eksport bernilai lebih RM330 juta melalui misi pelaburan dan eksport ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dipetik laporan Bernama dalam temu bual rangkuman susulan lawatan rasmi tersebut.
Fahmi yang mengetuai misi tersebut berkata potensi pelaburan itu dicapai menerusi lapan pertukaran memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia, Dubai dan Timur Tengah, perbincangan dengan pengerusi DAMAC Group Hussain Sajwani, dan penyertaan 12 syarikat teknologi Malaysia dalam pameran Gulf Information Technology Exhibition (GITEX) dan acara Expand North Star (ENS)
“Ini adalah angka yang sangat menggalakkan. Kita sudah tentunya dapat melihat hubungan kukuh dan faedah yang diperoleh antara UAE dan Malaysia serta peluang untuk Malaysia membawa syarikat, produk dan perkhidmatan kita ke seluruh dunia, khususnya ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk,” katanya.
Fahmi turut mengulas perbincangan beliau dengan Hussain Sajwani, yang juga pengasas konglomerat terkemuka UAE, DAMAC Group mengenai pelaburan RM250 juta dalam beberapa sektor strategik termasuk cadangan penubuhan pusat data di Malaysia.
“Saya harap cadangan pelaburan ini berpotensi menjadi lebih besar lagi dan kami memberi sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa butiran terperinci, tetapi saya sangat gembira dan berpuas hati dengan hasil lawatan ini,“ jelasnya. .
Sementara itu, MDEC dalam satu kenyataan berasingan berkata pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan digital negara meliputi rangka kerja yang disediakan melalui Malaysia Digital (MD).
MD adalah inisiatif strategik nasional bertujuan untuk memacu pertumbuhan pesat ekonomi digital dan mewujudkan limpahan hasil kepada rakyat, sejajar dengan pelan pembangunan Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.