Global

PM Anwar adakan perbincangan konprehansif dengan Menteri Kewangan Turkiye

Pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek yang disusuli perbincangan isu-isu ekonomi semasa, kerjasama ekonomi, pelancongan, pelaburan dan pertahanan kedua buah negara disifatkan sebagai sangat produktif.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri dan Mehmet saling bertukar pandangan termasuk mengenai perlunya wujud satu pembaharuan dalam struktur kewangan ketika ini.

“Kedua mereka lihat bagaimana hubungan perdagangan dua hala ditingkatkan dengan lebih aktif, meliputi pelbagai bidang, termasuk dalam sektor pelancongan, yakni satu sektor yang sangat besar bagi kedua-dua negara,” katanya dipetik laporan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam bidang pertahanan, kedua-dua pemimpin melihat kepada potensi bagi kedua-dua negara untuk sama-sama co-design serta co-production bidang berkenaan, dan Turkiye dilihat sedia memberikan kerjasama lebih mantap.

Beliau berkata perbincangan juga menjurus kepada agenda yang berkaitan isu-isu yang dicetuskan oleh ekonomi globalisasi, namun penekanan yang diberikan lebih kepada kerjasama perkumpulan atau ekonomi serantau.

“Kita lihat bagaimana kedua-dua negara dapat memainkan peranan yang sangat penting. Malaysia boleh mewakili rantau ASEAN dan Turkiye boleh mewakili rantau di sebelah Eropah dan Asia Tengah. Ini semestinya memberikan kelebihan kepada kedua-dua negara sahabat, yang mempunyai pertalian hubungan yang cukup besar,” katanya.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu konflik Israel-Palestin di Gaza, yang menurut Zambry amat menyentuh sanubari seluruh rakyat Malaysia dan juga seluruh umat Islam.

Beliau berkata konflik itu memperlihatkan betapa pentingnya kerjasama ekonomi yang mantap dalam kalangan negara-negara Islam ditingkatkan.

“Saya melihat pertemuan ini memberikan beberapa ruang dan dimensi baharu, dalam meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara, banyak yang dibincangkan dan saya lihat hasil perbincangan sangat produktif.

“Saya percaya dengan adanya pertemuan antara Perdana Menteri dengan Erdogan nanti, ia pasti dapat menambah dimensi kepada apa yang dibincangkan tadi,” katanya menurut laporan Awani.

Related Articles

Back to top button