Malaysia sedia kerjasama dengan Turkiye, negara sehaluan hentikan penindasan rejim Zionis – PM Anwar
Malaysia bersedia bekerjasama dengan Turkiye serta negara-negara sehaluan yang lain untuk mencari titik noktah penindasan rejim Zionis terhadap warga Palestin.
Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan beliau dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan di Istanbul, semalam.
Katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini, perbincangan berlangsung hampir dua jam itu memberi tumpuan besar kepada permasalahan kemanusiaan yang merenggut warga Palestin.
“Kami menyentuh secara panjang lebar dan terperinci mengenai hak warga Gaza yang terus dinafikan oleh Israel.
“Babak ini tentunya mengesankan tidak hanya Palestin, tetapi juga rantau Asia Barat dan dunia tatkala perkembangan di sana tidak semakin baik, malah, memburuk dengan tindakan rakus Israel.
“Justeru, aspek keselamatan dan pertahanan turut disentuh dan diberi penekanan dan dibincangkan,” katanya.
Anwar juga mengulangi bahawa Malaysia tidak berganjak daripada pendirian tegasnya dalam mengutuk sikap hipokrit negara-negara barat melibatkan isu Palestin.
Beliau berkata, Malaysia menyambut baik pembukaan koridor kemanusiaan di pintu masuk Rafah-Semenanjung Gaza sejak semalam.
Mengulas lanjut pertemuan bersama Erdogan, kedua-dua negara jelasnya, sependapat terhadap usaha memperkukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk dalam ekosistem pertahanan.
Pertemuan itu adalah acara terakhir lawatan kerja sehari Anwar ke Turkiye sebelum beliau berlepas ke Mesir.