Semasa

Veteran UMNO seru rakyat berdiri teguh bersama PM Anwar bela Palestin

Kenyataan tegas dilontar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan rakyat Palestin disifatkan sebagai tindakan yang berani.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub melalui kenyataan media disiarkan pada Rabu berkata, ketegasan dan keberanian Anwar serta rakyat Malaysia akan mengundang kemarahan sekutu-sekutu Israel.

Namun, menurut beliau, Veteran UMNO yakin ia mampu ditangani kerana Malaysia tidak bersendirian dalam perjuangan menyokong Palestin.

“Ia didukung oleh negara-negara Islam yang lain khususnya Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN serta negara-negara lain yang bersimpati dengan Palestin.

“Veteran UMNO menyeru rakyat Malaysia supaya berdiri teguh bersama perdana menteri dalam perjuangan membela rakyat Palestin demi keamanan dan keadilan sejagat,” katanya.

Anwar pada Selasa mendedahkan Malaysia dikecam sekutu zionis susulan kelantangan terhadap hak kemanusiaan rakyat Palestin yang dicabul di tanah Gaza.

Beliau bagaimanapun menegaskan sesekali tidak akan gentar terhadap apa-apa ancaman.

Sementara itu Mustapha menambah, Veteran UMNO berbangga dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri atas keberanian dan ketegasannya dalam isu konflik Palestine-Israel.

“Kenyataannya adalah suara hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan fahaman politik. Kenyataan yang berterus terang demi kemaanusiaan dan keadilan,” jelasnya.

Veteran UMNO juga menurutnya turut tersentuh dengan sokongan tidak berbelah bahagi raja-raja Melayu kepada rakyat Palestin dan mengecam tindakan ganas dan kezaliman rejim Zionis Israel.

“Sokongan istana itu memperlengkapkan sokongan Malaysia dan rakyatnya kepada Palestin,”tambah Mustapha.

Related Articles

Back to top button