Semasa

Kerajaan tiada masalah teliti dakwaan Pengarah Urusan Mydin

Harga beras import bagi pasaran tempatan terutama yang dikendalikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berada dalam keadaan terkawal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal monopoli oleh Bernas sudah diputuskan kerajaan, malah termanya sudah dipersetujui bagi tempoh konsesi selama 10 tahun sehingga 10 Januari 2031.

“Setakat ini, kita dapat pastikan bahawa beras import Bernas itu memang terkawal. Tapi kita boleh teliti (dakwaan monopoli Bernas),” katanya ketika ditemui pemberita di Dengkil, Selangor semalam.

Perdana menteri sebelumnya diminta mengulas dakwaan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berhubung monopoli oleh Bernas dalam pengimportan beras menyebabkan harga beras import kini tidak mampu dibeli oleh pengguna.

Ameer turut menggesa kerajaan menghapuskan monopoli dan membiarkan harga beras ditentukan kuasa pasaran.

Kerajaan sebelum ini menyatakan pendirian belum bercadang untuk menghapuskan monopoli Bernas sebagai pengimport beras di negara ini kerana yakin dasar pengimport utama beras yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah kaedah terbaik dalam menangani cabaran semasa dan mendatang.

Mac lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin mendedahkan, sebagai pemegang AP tunggal, Bernas mempunyai beberapa tanggungjawab sosial yang antaranya bagi mengurangkan impak kewangan besar dalam mengurus industri beras selain membantu petani menerusi pembayaran subsidi.

Related Articles

Back to top button