Sukan

Dr Wan Azizah bangga dengan pencapaian kontinjen para negara

Atlet para negara mampu meneruskan rentak cemerlang di Sukan Paralimpik Paris pada tahun hadapan, kata isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap ketika menyambut ketibaan atlet para negara yang menyertai acara sukan Para Asia di Hangzhou malam tadi, beliau menyatakan keyakinan itu berdasarkan kejayaan kontinjen negara yang melakar pencapaian gemilang di acara itu dengan membawa pulang 39 pingat.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau juga berbangga dengan kejayaan dilakar atlet para negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan berbekalkan semangat dan tekad yang tinggi.

“Kita doakan mereka terus sihat. Pencapaian ini boleh diteruskan (di Sukan Paralimpik Paris) jika semua atlet mempunyai tekad dan semangat selain dorongan serta sokongan daripada menteri (Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh).

“Saya harap mereka terus diberikan sokongan dan dorongan, Insya-Allah. Kita teruskan beri semangat kepada mereka. Kadang-kaang hidup ini ada pasang surut tapi kita mahu mampu mengatasi segala halangan itu,” katanya.

Terdahulu atlet para negara tiba menerusi penerbangan sewa khas MH8839 dan komersial MH377 yang masing-masing tiba kira-kira jam 8.07 malam (dari Hangzhou) dan 8.23 malam (dari Guangzhou).

Sejurus keluar dari Balai Ketibaan, Dr. Wan Azizah bersama Hannah turut menyampaikan plak cenderahati kepada semua 39 atlet yang berjaya memenangi pingat di Sukan Para Asia Hangzhou.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim, Presiden Majlis Paralimpik (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Malaysia mengakhiri saingan di Hangzhou dengan mengumpul 39 pingat merangkumi tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 35 pingat secara keseluruhan ditetapkan sebelum ini.

Related Articles

Back to top button