ekonomi

Rangka tindakan HGHV industri berasaskan teknologi dan digital dilancar Feb 2024

Rangka tindakan untuk inisiatif pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi industri berasaskan teknologi dan digital dijangka akan dilancarkan pada Februari 2024.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa penggulungan bagi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementeriannya pada Isnin berkata rangka tindakan tersebut akan menyediakan hala tuju yang terperinci seperti rangka tindakan sektoral termasuk merancakkan perkembangan syarikat pemula dan menarik syarikat teknologi dunia ke Malaysia.

“Tumpuan seterusnya adalah bagi melengkapkan pelan hala tuju sektor HGHV yang lain dalam tempoh 12 bulan yang akan datang, Kementerian Ekonomi dan kementerian lain (yang terlibat) sedang menumpukan usaha untuk membangunkan rangka tindakan untuk sektor digital dan teknologi.

“Tujuan kita mengadakan rangka tindakan sektoral untuk setiap satu daripada sektor-sektor dibawah HGHV adalah untuk memperincikan lagi sasaran inisatif, projek rintis dan insentif yang akan diberikan oleh kerajaan supaya dapat mempercepatkan pertumbuhan,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu lagi, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membangunkan rangka tindakan sektoral yang sama untuk industri pertanian dan industri asas tani moden.

Manakala, rangka tindakan sektoral yang kelima untuk industri nadir bumi akan dibangunkan bersama-sama dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Sementara itu Rafizi turut berkata beliau optimis bahawa kelima-lima rangka tindakan sektoral HGHV tersebut dapat membantu merancakkan ekonomi negara, sekali gus mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar antara 5.0-5.5 peratus yang ditetapkan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK12 (KSP RMK12) 2021-2025.

Related Articles

Back to top button