ekonomi

Basmi miskin tegar: Kerajaan pertimbang pemberian bantuan tunai khas secara bulanan

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 yang berlangsung pada Isnin setuju untuk mempertimbang pemberian bantuan tunai khas secara bulanan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan berkata, pemberian tunai khas itu bagi membantu isi rumah yang tidak berkemampuan menjana aktiviti pendapatan atas faktor usia atau kesihatan melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK) makanan.

“Semua agensi dan kementerian akan menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan pada tahun ini,” jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Sementara itu Anwar turut menjelaskan, kerajaan melalui pelbagai agensi dan kementerian sudah melaksana beberapa program dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar.

Justeru tambahnya, beliau berharap lebih ramai golongan miskin dapat dikenalpasti bagi membolehkan mereka diserap ke dalam program membasmi kemiskinan tegar mengikut kesesuaian.

BACA LAGI: Bantuan Awal Persekolahan disalurkan Januari depan

“Banyak usaha dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bahawa segala perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan memberi nilai yang terbaik kepada negara dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan bagi mencapai matlamat Malaysia Madani,” katanya.

Related Articles

Back to top button