Nasional

Kerajaan mula usaha tingkat mutu pendidikan mulai tahun hadapan

Kerajaan Perpaduan menyasarkan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara ke tahap lebih tinggi mulai tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada satu program di Bangi pada Selasa berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam menangani isu sekolah daif tahun ini.

“Mulai bulan Januari 2024, penekanan kita selain daripada menyelesaikan hal-hal kemudahan asas dan prasarana, saya beritahu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan juga Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin, tumpuan kita ialah meningkat dan mengangkat mutu pendidikan negara.

“Sekolah sudah elok, tandas sudah siap, kemudahan asas cukup, tunggu apa lagi. Tapi prestasi masih sama tahun lalu, itu tidak boleh kita terima. Minta kemudahan..minta bantuan, kita bantu. Tahun ini lebih baik tapi prestasi murid-murid tidak berubah. Kita tak boleh terima,” katanya.

Beliau sebelumnya hadir ke majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi.

BACA LAGI: KPM komited beri peluang murid berkeperluan khas dapat peluang pendidikan terbaik

Mengulas lanjut mengenai usaha itu Anwar berkata, beliau meminta Kementerian Pendidikan supaya menumpukan sepenuhnya terhadap soal kualiti pendidikan.

Selain itu persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga jelasnya wajar memberi kerjasama dalam meningkatkan mutu pendidikan.

“PIBG, saya minta selain daripada bincang hal-hal lain, bincang bagaimana hendak galakkan ibu bapa beri perhatian lebih setiap malam. Bagaimana anak-anak tumpu sekurang-kurangnya setengah atau sejam ulang kaji.

“Negara kita tidak boleh terangkat kalau mutu pendidikan kita tidak boleh maju dan meningkat serta berubah. Jadi, saya harap dengan politik kita sudah stabil dan Kerajaan Perpaduan bertambah kuat, kita hendak tumpu pembangunan dari segi lain ekonomi tapi untuk sekolah, saya juga akan berusaha (tingkatkan mutu pendidikan),” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button