Semasa

Kerajaan komited bantu pertumbuhan industri kenderaan elektrik

Kerajaan komited untuk memudahkan pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) dan penggunaan teknologi hijau yang lebih meluas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Kenderaan Elektrik Weststar Maxus MIFA 9, di Kuala Lumpur malam tadi berkata, komitmen itu sejajar matlamat kerajaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, iaitu mempercepatkan penerimaan EV dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.

Pada masa sama, Anwar berkata, EV juga menjanjikan untuk menangani perubahan iklim kerana industri automotif menyumbang kira-kira satu perlima daripada pelepasan global.

“Memandangkan pergantungan berterusan kita terhadap bahan api import dan turun naik yang tidak menentu dalam harga minyak global, maka wajar untuk kita mempromosikan peralihan kepada EV.

“Peralihan ini bukan sahaja membawa kepada penjimatan bahan api dan gas tetapi juga mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kita dengan ketara, memperjuangkan kemampanan dalam aktiviti harian kita,” katanya.

BACA LAGI: Pelaburan RM32 bilion jadikan Tanjong Malim hub automotif bertaraf globalĀ 

Perdana menteri turut menegaskan, pentadbirannya memberi sokongan kuat terhadap dasar mobiliti mampan dan teknologi hijau.

Sebagai contoh, katanya kerajaan melanjutkan pengecualian duti import bagi komponen EV pemasangan tempatan sehingga Disember 2027, memberikan pengecualian cukai eksais dan jualan sepenuhnya kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) serta melanjutkan pengecualian duti bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) sehingga Disember 2025.

“Bagi meningkatkan lagi penggunaan EV, kami menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 untuk syarikat yang menyewa kenderaan elektrik bukan komersial dan mengecualikan cukai jalan untuk EV sehingga 31 Dis 2025.

“Kami komited untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia menjelang 2025,” katanya dipetik pada majlis pelancaran itu.

Weststar Maxus MIFA 9, kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya yang ditawarkan dalam dua varian.

Weststar Maxus MIFA 9 Luxury yang dijual pada harga RM269,888 dan Weststar Maxus MIFA 9 Premium pada RM289,888.

Sementara itu Anwar berkata, pengenalan Weststar Maxus MIFA 9 adalah contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh mengambil peranan penting dalam mempromosikan matlamat bersama kerajaan.

Related Articles

Back to top button