Semasa

YADIM kagum pendirian PM Anwar dalam isu Palestin

Sikap ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di persada dunia wajar diikuti oleh para pemimpin negara ini tanpa mengira parti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zamri Zainal Abidin melalui satu kenyataan berkata, rakyat Malaysia sewajarnya bersama-sama dengan Perdana Menteri dalam misi beliau untuk memastikan hak-hak kebebasan dan kemerdekaan mutlak negara Palestin dapat dikecapi.

“(Ia) hendaklah disahut dengan mengetepikan perbezaan latar belakang ideologi, politik dan keagamaan serta tidak lagi bergelumang dengan isu remeh-temeh dalam negara,” katanya.

Zamri sementara itu berkata YADIM kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri ketika berhadapan rakan sejawatnya dari Jerman dan ketika ditemu bual oleh media antarabangsa berhubung isu Palestin.

“Walaupun diasak dengan pelbagai soalan dan helah, Perdana Menteri tetap tegas dengan prinsipnya dan tidak goyah sama sekali.

“Cukup jelas menunjukkan pendirian Perdana Menteri bukan sekadar mampu mengeluarkan kenyataan di dalam negara sahaja bahkan tegas dengan prinsip atas nama kemanusiaan apabila berhadapan dengan negara yang asalnya jelas menyokong tindakan rejim zionis Israel,” tambahnya.

BACA LAGI: PM Anwar wakili suara majoriti rakyat dunia pertahan warga Palestin

Anwar semasa semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac lalu mengutuk sikap Barat yang “selektif” dan “ambivalen” terhadap konflik kemanusiaan yang berlanjutan di Palestin.

Kenyataan Anwar itu meraih perhatian antarabangsa dan mendapat pujian ramai termasuk wartawan warga British-Amerika yang terkenal Mehdi Hasan yang menyifatkan Anwar kini mewakili suara majoriti rakyat dunia mempertahankan hak warga Palestin.

Related Articles

Back to top button