Nasional

Rafizi ulang rasional k’jaan tak lulus pengeluaran bersasar KWSP

Apakah pengeluaran sebelum ini tak selesai masalah?


MENTERI EKONOMI
Rafizi Ramli pada Isnin sekali lagi menegaskan rasional kerajaan tidak membenarkan sekali lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia susulan tindakan ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan beramai-ramai selepas tidak berpuas hati apabila permintaan untuk membahaskan isu pengeluaran KWSP bersasar ditolak.

Tegas Rafizi,walaupun tuntutan ini jika dibenarkan boleh dilihat sebagai satu program kerajaan yang sebenarnya tidak melibatkan wang atau usaha kerajaan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat terutamanya golongan yang berisiko yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.

Pengeluaran itu jelasnya hanya akan mengurangkan simpanan hari tua daripada caruman rakyat sendiri.

“Apabila dana KWSP menyusut, ini akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.

“Ini akan membawa kesan kepada pencarum-pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan caruman KWSP kerana jika pulangan secara keseluruhannya rendah, maka pencarum-pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu,” katanya menerusi hantaran video di laman Instagram.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, kerajaan tidak memilih jalan populis membenarkan pengeluaran itu untuk meraih sokongan rakyat.

Sebaliknya kerajaan menambahkan lagi caruman dan simpanan hari tua kepada pencarum supaya simpanan hari tua mereka mencukupi.

“Oleh sebab itu kerajaan memilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua pihak, bukan memilih jalan singkat yang akan meninggalkan masalah kepada pemimpin lain pada masa hadapan untuk diselesaikan,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button