Negeri

PM umum peruntukan tambahan bantu mangsa banjir Terengganu

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa khabar gembira buat mangsa banji di Terengganu apabila mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk bantuan.

Kebajikan rakyat tidak diabaikan

Dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Kuala Nerus malam tadi, Anwar berkata, kerajaan Pusat sebelum ini telah meluluskan peruntukan jumlah yang sama pada awal tahun lalu menjadikan peruntukan keseluruhan ialah sebanyak RM100 juta.

“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri kata bantuan tidak cukup, jadi malam ini saya tambah lagi RM50 juta menjadikan peruntukan keseluruhan RM100 juta.

“Saya tahu berlaku kelewatan pengagihan bantuan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jadi saya minta Nadma perhalusi segera,” katanya.

Pada 21 Dis lalu, Anwar ketika mengadakan lawatan bagi meninjau bencana di Kelantan mengumumkan bantuan awal RM50 juta masing-masing bagi Kelantan dan Terengganu yang bertujuan bagi meringankan beban dua negeri berkenaan.

Sementara itu dalam ucapannya malam tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberitahu beberapa projek pembangunan juga yang telah diluluskan di Terengganu

Ia antaranya pemuliharaan Sungai Merang, Setiu; pembinaan jalan-jalan desa, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh Banggol Air Lilih (RM410 juta) dan Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering (RM192 juta).

“Dua atau tiga bulan lagi, kita akan tambah pembinaan loji rawatan kumbahan dan paip pembetungan di beberapa kawasan di Terengganu,” katanya.

Pada ucapannya juga, beliau berkongsikan rasa gembira apabila Kerajaan Terengganu menyatakan hasrat mahu bekerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.

“Saya setuju untuk ada kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri Terengganu sama dengan Kelantan bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan harapan agar hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dipertingkatkan, sekali gus membolehkan lebih banyak inisitiaf tidak berpihak dan dwipartisan dapat diperkenalkan sebagai mana dilaksanakan di negara maju demi kebaikan rakyat.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button