Parlimen

Anwar harap Muhyiddin tak culas sesi PMQ hari ini

GESAAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu perdana menteri memberi penjelasan berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatangani baru-baru ini akan dijawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Adakah Muhyiddin serius atau bermain retorik?

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas gesaan itu semalam berkata, beliau berharap Ahli Parlimen Pagoh itu akan hadir pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) bagi mendengar penjelasannya.

“Saya akan jawab dan biar dia (Muhyiddin) ada di situ untuk hujah. Esok saya ingat pada sesi PMQ dan harap dia hadir,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di Bangunan Perdana Putra pada Isnin. 

Khamis lalu, bersempena lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ke Malaysia, kedua-dua negara telah menandatangani enam instrumen dua hala 

Antara instrumen ditandatangani di Kompleks Seri Perdana itu adalah mengenai Perjanjian Lintas Sempadan; keselamatan perairan iaitu Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.

Difahamkan, isu berkaitan sempadan maritim dua negara di Laut Sulawesi sudah berlarutan lebih 18 tahun. 

Anwar semasa sidang media bersama Jokowi berkata, isu yang berlarut sebelum ini mampu diselesaikan dengan mudah perkara sekiranya wujud semangat ‘kekeluargaan’ antara dua negara.

Jokowi pula dalam sidang media sama menyatakan harapan lebih banyak isu berbangkit sebelum ini diselesaikan melalui hubungan kekeluargaan serta kerjasama baik Perdana Menteri dan juga menteri berkaitan.

“Alhamdulillah, isu yang dirunding sejak 18 tahun berjaya kita selesaikan hari ini. Saya harap isu-isu lain yang disebut juga boleh diselesaikan segera dengan harapan Perdana Menteri masih Anwar dan di Indonesia presidennya masih Jokowi,” katanya pada sidang media bersempena lawatan itu.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button