Malaysia tunjuk kemajuan ketara tangani isu pemerdagangan orang
STATUS Malaysia pada Tahap 2 Pemerhatian menerusi Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023, menandakan kemajuan ketara dalam menangani isu pemerdagangan orang di negara ini, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Kerajaan tunjuk koitmen perangi isu terbabit |
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Rahmat Mohamad berkata organisasi tersebut, memuji usaha bersepadu kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan kedudukan TIP negara.
“Langkah-langkah yang diambil kerajaan, mencerminkan komitmen yang kukuh untuk memerangi pemerdagangan orang dan mengiktiraf kepentingan untuk keluar dari Tahap 3, bagi mengelakkan sekatan eksport produk-produk tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai organisasi yang komited dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia termasuk memerangi pemerdagangan orang, Rahmat berkata SUHAKAM tetap teguh dalam menyokong inisiatif yang bertujuan untuk membasmi jenayah tersebut.
Beliau menyifatkan kerjasama antara kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang relevan, penting untuk merealisasikan objektif Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0), dan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2021-2025 (NAPFL).
Suhakam juga mengulangi saranannya kepada kerajaan, untuk meningkatkan usaha bagi menghalang, menerajui pembasmian pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan memastikan perlindungan sepenuhnya serta bantuan kepada mangsa pemerdagangan dan penyeludupan di setiap peringkat.
Laporan TIP yang dikeluarkan 15 Jun, menunjukkan kedudukan Malaysia naik daripada Tahap 3 ke Tahap 2 Pemerhatian, sementara menyarankan agar Malaysia memberi penekanan kepada kes pemerdagangan orang yang melibatkan penjawat awam serta menambah baik kerjasama antara agensi.
-AA