Perbezaan tak wajar jadi sebab permusuhan – PM Anwar
SEMUA pihak diseru supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai senjata permusuhan, sebaliknya menjadikan perbezaan itu sebagai cadangan untuk menjadi yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbezaan politik telah menyebabkan banyak fakta tidak tepat dan fitnah dilemparkan, di media sosial, oleh segelintir pihak yang tidak senang meliha usaha kerajaan untuk membantu rakyat.
Jelasnya, antara fitnah yang dimainkan bagi menyerang kerajaan pimpinannya adalah membabitkan isu perjanjian persempadanan dimeterai antara Malaysia dan Indonesia yang sudah pun dijawab dengan tuntas di Parlimen.
“Ia masih terus dimainkan, dengan pelbagai tuduhan tipu dan fitnah kononnya ia bagaikan menjual maruah negara, tidak bertanggungjawab dan khianat kepada negara.
“Tentang pengurangan subsidi elektrik, dia (pembangkang) kata kita bebankan rakyat, pengurangan ini dikurangkan kepada pengguna 1,500 kWj… tetapi kempen (pembangkang) kata ia beban kepada rakyat.
“ni masalah kita, tidak bolehkah perbezaan politik ini jangan kita jadikan senjata fitnah.. tetapi jadikan perbezaan ini untuk bagi cadangan yang lebih baik, saya belum dengar lagi apa cadangan yang lebih baik,” katanya.
Anwar berkata begitu dalam ucapan di Sentuhan Kasih Desa di Nilai, Negeri Sembilan semalam yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.
Dalam ucapannya juga Anwar turut menegaskan budaya fitnah dan penyebaran berita tidak benar mesti dihentikan supaya rakyat tidak terkeliru.
Justeri kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi jentera bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat yang benar dan menangkis perkara yang palsu yang disebarkan kepada masyarakat.