Semasa

DOF lakukan analisis, keracunan kupang di Port Dickson dicemari biotoksin berbahaya

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memaklumkan hasil analisis makmal yang dijalankan oleh makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap sampel air dan kupang di perairan Port Dickson mengesahkan kupang di daerah tersebut telah dicemari biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan.

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan analisis yang telah dijalankan mendapati terdapat alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.

“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan,” katanya.

DOF sebelum ini telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan larangan sementara bagi menjual dan mengeluarkan kupang ternakan samada melalui sistem panggar atau pancang.

“DOF juga sentiasa melaksanakan pemantauan keselamatan kerang-kerangan di Malaysia secara berjadual di bawah Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (National Shellfish Sanitation Program – NSSP) yang melibatkan sampel ternakan dan liar.

“Orang ramai juga diminta melaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri atau Daerah yang berdekatan jika melihat perubahan warna air laut yang mencurigakan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, dianggarkan lapan individu dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami keracunan akibat memakan kupang yang dibeli dari dua buah pasar di sekitar daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, kejadian itu mula dikesan pada 1 April lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Related Articles

Back to top button