200 veteran ATM luar bandar akan dibantu, kata Timbalan Menteri
LEBIH 200 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan luar bandar telah dikenal pasti untuk dibantu.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan usaha itu akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Usahawan veteran ini menceburi pelbagai bidang, termasuklah pertanian…jadi bantuan akan diberikan kepada mereka berdasarkan keperluan, tidak semestinya dalam bentuk wang tunai.
“Di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terdapat lebih kurang 22,000 usahawan…dan kita telah mengenal pasti lebih 200 usahawan veteran yang ada di kawasan luar bandar untuk dibantu,” katanya.
Adly ditemui pemberita selepas menyantuni veteran ATM di Kampung Sungai Baru, Bedong di Sungai Petani pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sophian Isswandy Ismail.
Sementara itu, Adly berkata Program Peduli Veteran (PPV) akan diteruskan ke seluruh negara bagi menyantuni veteran ATM dan memastikan golongan itu mendapat insentif yang disediakan
“Saya juga berharap agar kita dapat menambah baik perkhidmatan di JHEV demi menjaga kebajikan veteran ATM dan keluarga mereka,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Menteri Melaka itu turut melawat Pusat Rawatan Dialisis Amal Afiat Sdn Bhd dan menyantuni tujuh veteran ATM yang menerima rawatan di situ.