PH gagal jelaskan isu penting kepada pengundi – Ketua Menteri

Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengakui Pakatan Harapan (PH) gagal meyakinkan pengundi dalam isu-isu yang penting bagi mereka.
“Saya lihat keputusan ini sebagai menunjukkan kita telah gagal meyakinkan rakyat mengenai isu-isu nasional, negeri, dan tempatan yang pengundi rasakan penting,” katanya sebagai mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang berakhir semalam.
Pada pilihan raya kali ini, PH gagal menawan kembali Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional. Abidin Ismail yang mewakili gabungan itu diumumkan memenangi PRK itu dengan majoriti 4,267 undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim turut memaklumkan peratusan keluar mengundi bagi PRK kali ini ialah 63.45 peratus.
Chow sementara itu berkata terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, yang menyumbang kepada kekalahan PH.
Beliau berkata peratusan keluar mengundi pengundi Cina dianggarkan 49%, iaitu penurunan sebanyak 13% daripada angka pada PRN lepas.
Sepanjang kempen kali ini,antara ketidakpuasan hati yang berbangkit adalah dasar berkaitan diesel, yang mana kerajaan melaksana penyasaran subsidi hanya kepada golongan yang layak menerima subsidi.
BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi diesel berjaya bendung aktiviti penyeludupan
Walaupun langkah tersebut bertujuan mengekang ketirisan dan memastikan subsidi hanya dinikmati golongan layak, ia dijadikan modal untuk menyerang kerajaan.



