Semasa

Kerajaan setuju kaji semula skim gaji perkhidmatan awam

KERAJAAN akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan untuk mengkaji semula skim gaji berkenaan dibuat berikutan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh yang agak lama dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak adalah pada 2013.

“Kali terakhir gaji penjawat awam (dinilai) adalah pada tahun 2013 lalu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad telah kemukakan pandangan kepada saya untuk mulakan pasukan mengkaji.

“Jadi saya dah bersetuju dan kita akan bentangkan pada jemaah menteri supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh terus memulakan kerja untuk memberikan cadangan kepada kerajaan untuk melihat (mengkaji),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, pada Jumaat

Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan untuk menubuhkan pasukan mengkaji itu wajar diberikan pertimbangan meskipun negara ketika ini terikat dengan kekangan kewangan.

“Walaupun terikat dengan kekangan kewangan yang ada, tetapi saya fikir dengan sedikit perubahan yang ada, kita boleh cari jalan supaya ia dipertimbangkan.

“Sudah 10 tahun tidak dinilai semula gaji penjawat awam dan minggu depan bersama barisan jemaah menteri saya akan pastikan keputusan berkenaan dapat dibuat,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pelaburan yang diterima kerajaan negeri serta persekutuan bergerak pantas, beliau yakin usaha berkenaan dapat direalisasikan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menasihatkan mereka agar membantu kerajaan menjaga khazanah negara dengan amanah.

“Tak guna kita simpang-siur bagi pidato selamatkan Melayu, selamatkan Islam, tetapi mengizinkan mereka yang menyakau menguruskan negara,” jelasnya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Anwar berharap, penjawat awam di Negeri Sembilan memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan usaha yang dimulakan sejak tujuh bulan lalu.

Related Articles

Back to top button