Semasa

KPDN akan kerjasama dengan KPKM benteras sindiket tukar label beras

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dilapor.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, walaupun ia terletak di bawah bidang kuasa KPKM menerusi Kawalselia Padi dan Beras (KPB), namun pihaknya juga akan bertindak apabila aduan diterima.

“Tentang perkara ini, kita masih lagi menunggu aduan dan jika ada aduan itu kita akan lihat namun setakat hari ini kita belum dapat lagi bukti berkenaan perkara ini (tukar label beras tempatan kepada import) berlaku.

“Dalam mesyuarat kabinet semalam, kedua-dua kementerian ini ada berbincang mengenai perkara ini dan kami akan memantau dan buat sesuatu, termasuk mengambil tindakan jika aduan itu didapati benar,” katanya kepada media pada Khamis.

Sebelum ini, terdapat laporan media bahawa wujud segelintir pemborong beras didakwa cuba memanipulasi harga kawalan ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import bagi mengaut keuntungan besar.

Taktik itu dipercayai dilakukan kerana harga beras import tidak dikawal kerajaan, sebaliknya hanya diapungkan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 untuk beg 10 kilogram (kg).

Sementara itu ketika mengulas cadangannya sebelum ini agar pesakit kanser dibenarkan membeli susu formula khas di hospital dengan harga lebih murah daripada pasaran, beliau berkata, berdasarkan mesyuarat kabinet semalam Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik perkara berkenaan.

“Semalam, dalam mesyuarat kabinet, Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) ada mengatakan bahawa hospital bersedia untuk membuka sekiranya ada pelanggan yang ingin membeli susu jenis itu, jadi perincian tentang jenis dan keberadaan itu sekiranya ada pemintaan kita akan bincang dengan pihak KKM,” katanya.

Difahamkan, harga susu itu yang dahulunya dijual pada harga RM78 meningkat secara berperingkat, kini sudah mencecah sehingga RM94, sekali gus membebankan pesakit, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Related Articles

Back to top button