Malaysia-Hungary kukuh kerjasama pertanian dua negara
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Pertanian Hungary, Istvan Nagy bagi mengukuhkan kerjasama pertanian kedua-dua negara.
Pejabat KPKM berkata, kedua-dua menteri telah mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dua hala, khususnya berkaitan akses pasaran, pertanian moden dan penyelidikan untuk manfaat bersama.
Menteri ketika pertemuan bersama rakan sejawatnya di Budapest Hungary, berkata, MoU tersebut akan menjadi peluang untuk meneroka pasaran baharu bagi produk pertanian Malaysia seterusnya meningkatkan keseimbangan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara.
Nagy dalam kenyataannya pula berkata, kerjasama dua negara itu mencipta lebih banyak peluang dan menjadikan MoU ditandatangani sebagai kelebihan untuk lebih berdaya saing.
“Hungary bersedia untuk meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan benih dan agro-genetik, pertanian pintar dan pendigitalan yang ditekankan dalam pertanian untuk membantu menangani cabaran dalam produktiviti, kemampanan dan perubahan iklim.
“Dr Nagy juga menawarkan Malaysia peluang menjadikan Hungary sebagai pintu masuk kepada keluaran pertanian dari Malaysia ke EU,” kata kenyataan Pejabat KPKM.
Mohamad mengadakan lawatan ke Rom, Itali dan Budapest, Hungary bagi mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian sejak 2 Julai dan akan berakhir 8 Julai ini.
-AA