Inisiatif Bitara Madani berjaya kurangkan kesesakan pesakit di HTAR hingga 70 peratus
Inisiatif Bitara Madani bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan yang dilaksanakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor berjaya mengurangkan jumlah pesakit rawatan kecemasan Zon Hijau sehingga 70 peratus.
Ketua Jabatan berkenaan, Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor berkata projek rintis inisiatif itu yang dilaksanakan di jabatan itu sejak Mac lepas menyaksikan langkah penyuraian pesakit rawatan kecemasan bukan sekunder dihantar ke klinik kesihatan (KK).
Beliau berkata sebelum inisiatif Bitara Madani dilaksanakan, kedatangan pesakit mencecah 350 orang sehari, malah jika tiada intervensi dilakukan jumlah pesakit boleh mencecah 400 orang sehari dengan purata 10 peratus pesakit kes Zon Merah, Zon Kuning (30 peratus) dan Zon Hijau (60 peratus).
“Perkhidmatan kesihatan kepakaran kesihatan keluarga atau primer yang ditawarkan di klinik-klinik daerah Klang ini merangkumi skop bukan kecemasan, keperluan rawatan kesihatan lazim pelbagai umur termasuk ibu mengandung dan bayi termasuklah saringan, pengesanan, diagnos, kawalan dan preventif.
“Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) pula memainkan peranan rawatan sekunder iaitu untuk situasi kecemasan membahayakan nyawa, anggota badan atau organ, penyakit akut yang rumit atau melarat,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, menerusi inisiatif berkenaan masyarakat juga dibantu untuk membuat keputusan dan pilihan yang lebih tepat semasa mendapatkan perkhidmatan yang sesuai dengan masalah kesihatan mereka.
Langkah itu katanya, dapat meningkatkan akses masyarakat kepada kesihatan primer di KK dan pada masa yang sama meningkatkan akses kepada perkhidmatan kecemasan di jabatan kecemasan terutamanya untuk kes separa krikal atau Zon Kuning.
“Fokus JKT juga menjadi lebih jelas iaitu peranan sebenar perkhidmatan kecemasan HTAR boleh dilaksanakan dan diberikan kepada individu berpenyakit akut atau kecederaan yang lebih serius dan tenat termasuk situasi-situasi peka masa seperti serangan jantung, strok dan polytrauma,” katanya.
Pakar Perunding Kecemasan itu berkata waktu menunggu atau giliran untuk mendapat rawatan awal pesakit luar masih terkawal seperti penilaian pertama doktor kecemasan, menunggu untuk menjalankan ujian pengimejan diagnostik dan makmal.
Beliau berkata aspek proses kerja yang efisien dan dinamik kerja berpasukan yang baik dalam kalangan petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit juga antara pendorong menjayakan perkhidmatan yang bermutu kepada pesakit di jabatan kecemasan.
Dr Ahmad Tajuddin berkata beberapa indikator atau petunjuk prestasi untuk mengukur keberhasilan inisiatif turut digariskan, termasuk waktu menunggu untuk pesakit Zon Hijau kurang dari satu jam.
“Sasaran kita ke arah lebih 50 peratus (jumlah pesakit menunggu kurang satu jam) dalam masa enam bulan pertama dan pencapaian ketika ini adalah sekitar 40 peratus.
“Sasaran ketepatan penyuraian pesakit Zon Hijau menerusi pemantauan kes yang perlu datang semula ke JKT selepas pergi ke KK adalah bawah lima peratus dan pencapaian kini adalah 0.7 hingga 0.8 peratus iaitu lebih kecil atau sifar adalah lebih bagus,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek Bitara Madani sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani dan menggunakan pendekatan ‘The Whole of Government’ (pendekatan keseluruhan kerajaan) dengan ketua projek terdiri daripada pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau jabatan yang berbeza dengan kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.