Fitnah berniat rosakkan reputasi PM, salinan perjanjian pajakan kediaman Sg Long terdedah
Tindakan beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin membangkitkan isu kediaman peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang bertujuan jahat.
Peguam Sakara Nair ketika menjawab tohmahan Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard menegaskan, Anwar telah menandatangani perjanjian pajakan kediaman itu pada 2020 untuk tempoh 10 tahun.
“Hartanah itu adalah dalam pajakan, ada perjanjian pajakan selama 10 tahun, yang (buktinya) ada bersama saya. Ia sebahagian daripada bukti.
“Jika anda membuat carian di pejabat tanah anda boleh jumpa,” katanya menjawab tuduhan daripada beberapa pemimpin pembangkang yang berkongsi maklumat palsu berhubung pemilikan rumah berkenaan.
Sementara itu tambah Sankara, Anwar sebagai Perdana Menteri (PM) boleh tinggal di mana-mana jika dia rasa selamat dan terlindung dari aspek keselamatan.
“Dan oleh kerana dia mempunyai tempoh pajakan selama 10 tahun kenapa dia perlu kosongkan rumah itu hanya sebab dia adalah PM..tiada keperluan langsung (kosongkan premis),” katanya kepada pemberita.
Sankara ditemui pemberita semasa menemani Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bagi membuat laporan polis ke atas tiga individu iaitu Chegubard, bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Blogger Raggie Jessy Rithaudeen berhubung fitnah dibuat mereka.
Selasa lalu, Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Anwar berhubung pemilikan kediaman peribadinya di Kajang yang didakwa milik “tauke Cina yang penuh misteri” termasuk menggunakan kereta bukan miliknya.
Mengulas perkara itu, Sankara berkata Anwar memaklumkan bahawa kenderaan tersebut adalah kereta terpakai yang dipinjamkan kepadanya dan sebaik menjadi perdana menteri, beliau (Anwar) kembalikan semuanya.
Sementara itu, satu dokumen yang didakwa salinan asal perjanjian pajakan membabitkan kediaman tersebut telah tular di media sosial lewat petang ini.
Salinan dokumen tersebut yang dilihat MediaMadani jelas mengesahkan kenyataan Sakara bahawa berlaku perjanjian pajakan bagi kediaman atas tanah beralamat di Sungai Long itu untuk tempoh 10 tahun.
Jelas tertera pada dokumen berkenaan bahawa pajakan itu bermula dari Ogos 2020 hingga Julai 2030 seperti dijelaskan Sankara sebelum ini.
Sementara itu Sakara memberitahu bahawa beliau telah menasihatkan Anwar agar membuat laporan jenayah fitnah berbanding saman sivil kepada tiga individu yang berkongsi kenyataan palsu mengenai pemilikan kediaman tersebut.
“Itu (perjanjian) tahun 2020 dan dia bukan PM ketika itu apatah beliau tidak jangkakan pun akan menjadi Perdana Menteri..maka adalah tak wajar tanpa usul periksa terus menuduh dengan fitnah rasuah dan sebagainya.
“Sebab itulah saya menasihati Anwar agar jangan memfailkan saman sivil kerana ia akan memakan masa yang bertahun lama sebaliknya mencadangkan untuk saman jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana ia akan membawa hukuman penjara yang akan menjadi pengajaran kepada pemfitnah,” katanya.