
Kerajaan akan memberi tumpuan untuk meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga tempatan, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelaburan asing di negara ini berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil perbincangan bersama pelabur antarabangsa menyatakan wujud keperluan itu yang mesti diambil perhatian oleh kerajaan.
“Soal ekosistem ini benar. Perbincangan kita dengan Elon Musk, Tesla, Geely dan Infinion yang melabur lima bilion euro di Kulim Hi-Tech.
“Semua menyatakan sementara tahap latihan kejuruteraan kita itu memuaskan, tetapi ada yang kurangnya kemahiran yang patut kita berikan perhatian,” katanya.
Menurut Anwar, beliau sudah menyampaikan amanat kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor (di universiti) supaya memberikan laluan dan tumpuan dalam penerokaan bidang baharu ini termasuk pengkhususan dalam bidang AI.
“Geely menyebut sementara jurutera kita di tahap sangat baik, (namun masih) memerlukan tahap kepakaran khusus dalam bidang automotif dan industri.
“Dalam perbincangan, kita minta mereka (Geely) juga menetapkan bidang-bidang disiplin khusus yang diperlukan supaya kita dapat mulakan latihan di universiti tempatan,” tambahnya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal berkenaan hasil lawatan ke luar negara sejak menerajui kerajaan, Anwar berkata, sebanyak 17 lawatan ke luar negara sudah dilaksanakan termasuk ke negara-negara ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Katanya, hasil lawatan ke China pada Mac lalu itu menjana nilai potensi pelaburan RM170.07 bilion iaitu pelaburan komited sebanyak RM100.33 bilion hasil sesi meja bulat dengan pemimpin industri dan ketua perniagaan China, serta RM69.74 bilion lagi daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan China.
“Ini termasuklah pelaburan daripada Geely dan susulan daripada itu, saya akan ke Tanjong Malim pada esok hari sebagai usaha kerajaan dalam meyakinkan pelaburan pembangunan Automotive High Tech Valley dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan lawatan ke AS pula berjaya membawa pelaburan berpotensi RM4.74 billion.
Manakala hasil lawatan ke UAE, negara menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion membabitkan sektor-sektor tenaga boleh baharu, logistik dan aeroangkasa.
“Pelaburan terbesar daripada MASDAR iaitu pembangunan projek tenaga boleh baharu di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt (GW) bernilai RM37.8 bilion.
“Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM2.1 bilion dalam sektor logistik dan RM709.1 juta sektor aeroangkasa,” katanya.