Teknologi

Starlink beri impak positif kepada IOT di Malaysia – Penganalisis

Penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink di Malaysia dijangka memberikan impak positif, kata penganalisis.

Penganalisis Utama GlobalData, Alfie Amir berkata kehadiran Starlink oleh SpaceX akan membawa manfaat besar kepada kegunaan industri baharu di samping meningkatkan lagi kemajuan signifikan Malaysia dalam keterhubungan Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Kita lihat pada masa ini syarikat telekomunikasi di seluruh dunia menambah satelit orbit bumi rendah (LEO) menerusi kerjasama dengan operator satelit seperti Starlink.

“Kes gunaan dalam kerjasama ini terutamanya untuk keterhubungan IoT di kawasan pedalaman — bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian sebagai sandaran dan komunikasi kritikal,“ katanya dipetik Bernama.

Alfie sebelumnya mengulas hasil persidangan video Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk baru-baru ini.

Perbincangan yang terarah khususnya dalam bidang kenderaan elektrik (EV), turut menyentuh penyertaan SpaceX yang dapat menyumbang kepada capaian Internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman dengan sekurang-kurangnya tiga syarikat tempatan akan terlibat dalam projek bersama SpaceX sekaligus membuka puluhan ribu peluang pekerjaan tenaga mahir di negara ini.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata perbincangan Anwar dan Musk yang membuahkan hasil itu telah mewujudkan tindak balas rantai yang menyaksikan komitmen selanjutnya dipersetujui antara kedua-dua pihak.

“Selain pelaburan pejabat Tesla di Malaysia yang akan menyumbang kepada pemerkasaan industri EV di Malaysia, satu lagi kerjasama berpotensi yang penting adalah perkhidmatan satelit Starlink yang akan mengurangkan kos Internet dan mengecilkan jurang digital bandar-luar bandar.

“Sambutan positif hasil mesyuarat ini akan turut memberikan sumbangan kecil namun bermakna untuk memperkukuh keyakinan pelabur kepada negara,“ katanya.

Difahamkan perbincangan lanjut berhubung kerjasama Starlink SpaceX dengan kerajaan Malaysia akan diadakan tidak lama lagi.

Related Articles

Back to top button