Negeri

KKM lulus RM350,000 untuk naik taraf klinik daif di Terengganu

Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan RM350,000 untuk menaik taraf klinik kesihatan daif di Terengganu.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu RM200,000 diperuntukkan bagi melaksanakan kerja pendawaian semula dan naik taraf sistem elektrik di empat buah klinik kesihatan yang daif, di negeri itu.

Selebihnya diluluskan bagi tujuan pembelian peralatan perubatan, untuk kegunaan klinik-klinik kesihatan di negeri berkenaan.

“Setelah mendengar permintaan daripada Pengarah Kesihatan Negeri (Datuk Dr. Kasemani Embong), saya bersetuju untuk luluskan segera peruntukan tersebut (RM200,000) bagi kerja naik taraf sistem elektrik di Klinik Kesihatan Seberang Takir, Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, Klinik Desa Pengadang Baru dan Klinik Desa Medan Jaya.

“Kita (KKM) bagi ini bukan untuk apa, tapi untuk kemudahan penduduk di Terengganu,” katanya.

Dr Zaliha berkata begitu pada sidang media selepas melawat Klinik Desa Pulau Bahagia di sini, dalam lawatannya ke projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di Terengganu pada Sabtu.

Pada masa sama, Zaliha berkata KKM telah mengenal pasti 112 fasiliti kesihatan daif di Terengganu merangkumi Klinik Kesihatan, Klinik Desa dan Klinik Pergigian dan sehingga semalam, sebanyak 58 daripadanya telah terlibat dalam inisiatif pembaikan melibatkan peruntukan berjumlah RM8.9 juta.

“Setakat ini 21 telah siap sepenuhnya, manakala 36 buah lagi sedang dalam fasa pelaksanaan. Pembaikan selebihnya (54 buah) akan dipertimbangkan untuk dimulakan pada tahun hadapan dan 2025,” katanya.

Related Articles

Back to top button