Semasa

Gangguan seksual terhadap Rara: Pegawai Khas buat laporan polis

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman difahamkan telah memfailkan satu laporan polis terhadap seorang individu pempengaruh di TikTok.

Ia susulan tindakan individu itu yang didakwa membuat kenyataan menghina dan berbaur seksis terhadap beliau.

Individu tersebut melalui video berdurasi satu minit 35 saat mempertikaikan pemakaian serta kredibiliti pemimpin itu ketika menghadiri sebuah program Pentas Anak Muda Madani di Pulau Pinang Jumaat lalu.

Young Shefura atau lebih mesra dikenali sebagai Rara, hadir ke acara tersebut bagi membincangkan topik permasalahan serta usaha kerajaan Perpaduan untuk membaik pulih negara.

Namun, ketika mengulas lanjut soal Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor yang didakwa menghina institusi diraja Selangor baru-baru ini, individu itu membalasnya dengan ayat yang tidak sewajarnya digunakan.

“Kata-kata dan gaya badan yang dilontarkan (menerusi video) telah menjatuhkan reputasi, biadab serta memalukan Young Syefura selaku Ahli Parlimen Bentong,” menurut laporan difailkan Pegawai Khas Ahli Parlimen Bentong Noor Suhana Ishak di Bentong petang semalam.

Sementara itu Noor Suhana berkata, tingkah laku seksis seperti itu tidak boleh dibiarkan.

“Sebagai seorang influencer, dia harus menggunakan platformnya untuk mempromosikan kebaikan.

“Dia harus bijak dalam pertimbangan dan pemikirannya dan bukan hanya mengejar pengaruh, yang telah mendedahkan kedangkalannya.

“Kita sentiasa boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi ia mesti berdasarkan fakta. Bagaimanapun, pengaruh ini menggunakan pendekatan ‘kotor’ dengan menggunakan bahasa seksis, memalukan dan kesat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Rara akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Related Articles

Back to top button