Mahkamah

Sanusi mengaku tak salah atas 2 pertuduhan hasutan terhadap raja

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap raja.

Kedua-dua pertuduhan terhadap menteri besar Kedah itu dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sanusi didakwa melakukan kesalahan itu di Simpang Empat, Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor pada 11 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan Peguam Cara Negara, Ahmad Terrirudin Salleh, manakala Sanusi diwakili peguam Shaharudin Ali.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Nor Rajiah Mat Zin membenarkan Sanusi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah berasingan, Sanusi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua membuat kenyataan dianggap menghasut yang mempunyai “kecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja”.

Hakim Osman Affendi Shalleh membenarkan ikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Okt ini.

Kedua-dua hakim melaksanakan perintah larangan bersuara ke atas Sanusi bagi menghalangnya membuat sebarang komen berhubung kes itu.

Muhmmad Sanusi sebelumnya tiba di kompleks Mahkamah Selayang berbaju kemeja putih tiba pada 8.55 pagi diiringi beberapa kenderaan polis hadir bagi berdepan dakwaan itu.

Dia ditahan polis di hotel penginapan dalam Lembah Klang dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak awal pagi tadi.

Related Articles

Back to top button